MY QSL CARD

MY QSL CARD

Sunday, November 14, 2010

PENINGKATAN DALAM HIDUP

LATARBELAKANGKU   
     Penulisan dan pandangan peribadi ini ditulis untuk renungan rakan-rakan yang melawati blog ini dan bukan bertujuan untuk mengaitkan sesiapa, mengguris hati sesiapa jauh sekali mahu membangga diri, riak, takbur terhadap apa yang saya lalui dalam kehidupan ini. Saya bertugas sebagai seorang Guru Penolong Kanan Ko-kurikulum, bertugas di Sek. Men. Keb. Bagan Jaya, Butterworth, Pulau Pinang(sejak 1999) dan berpengalaman lebih 20 tahun di bidang pendidikan serta terlibat secara langsung dalam badan NGO / berpersatuan ingin berkongsi pengalaman saya  perihal peningkatan dalam kehidupan.
      Saya di lahirkan dalam keluarga yang sederhana, ayah saya seorang ustaz dan ibu seorang surirumah (kedua-dua telah meninggal dunia 10 tahun yang lalu).  Ayah saya berasal dari keluarga yang susah dan ramai adik beradik. Ayah terpaksa belajar sambil bekerja untuk menyara adik beradik. Dari seorang guru agama kampung, akhirnya ayah saya berjaya menjadi guru tetap di sekolah kerajaan.  Pengalaman hidup ayah telah membuatkannya amat mementingkan pelajaran dan mendidik anak-anaknya agar mementingkan pelajaran.  Ayah, seorang guru sanggup  bermotosikal sahaja hanya kerana mahu memberikan tumpuan perbelanjaan kepada kebajikan pelajaran anak-anak.  Akhirnya adik beradik saya seramai 6 orang berjaya (4 orang ke universiti(guru) dan seorang juruteknik telekom). Itu semua berkat pengorbanan ibu dan ayah dan keazaman yang tinggi .  Semasa kecil saya pernah membantu ayah mengerjakan sawah padi, menjual kuih yang dibuat oleh ibu saya semasa  di sekolah rendah (tahun 1970an) dan  belajar pendawaian elektrik semasa di tingkatan 4 dan masih melakukan kerja ini sehingga sekarang.  Saya juga pernah  6 tahun menjual Char Kueh Teow di tepi jalan dan membuat catering secara kecil-kecilan..  Saya tidak pernah jemu mempelajari dan melakukan sesuatu pekerjaan yang mendatangkan faedah. Pengalaman-pengalaman  itu merupakan suatu bunga kehidupan yang menarik dalam hidup saya.

PENDIDIKAN
      Bagi diri saya, pengalaman telah membuat saya kuat keazaman untuk terus berjaya dan meningkat dalam kehidupan. Bermula  sebagai guru maktab di posting ke kawasan pendalaman (akhir tahun 80an) Ulu Jelai, Kuala Lipis, Pahang ,mengajar orang asli telah mengajar saya erti kehidupan dan keazaman.  Setelah kembali ke kampung di Penaga, Kepala Batas, S.Perai dan melanjutkan pelajaran ke USM, Pulau Pinang hingga ke peringkat ijazah Master dan terus menjadi guru.  Semangat mendidik anak bangsa terus bersemarak di jiwa hingga ke hari ini.  Bagi saya apa yang di ceburi harus mencapai ke peringkat tertinggi yang termampu.  Keazaman serta semangat ingin berjaya harus kuat di dalam sanubari kita biar pun apa bidang.

BERPERSATUAN
      Saya  aktif dalam bidang pengakap dan memegang pelbagai jawatan sejak berusia 18 tahun serta menghadiri pelbagai kursus peningkatan hingga ke peringkat tertinggi Jurulatih Antarabangsa(4 beaders) dan sehingga sekarang masih memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Daerah Butterworth.   Segala selok belok, pahit maung,dengki mendengki, kata mengata, "politik" berpersatuan dan bangun jatuh dalam berpersatuan telah masak dalam jiwa jiwa saya.  Namun dalam setiap perlakuan dan hubungan kita dengan individu/masyakarat saya berpegang kepada pesan arwah ayah saya iaitu " buat baik pun orang kata, buat jahat lagi orang kata".  Buatlah kerja kerana Allah (Lillahita'ala), jauhi segala sikap negatif atau sikap orang tu tak kena, orang ni tak kena, yang kena kita aja, condem orang tu condem orang ni. Jauhilah segala penyakit negatif ini. Orang buat biarkan, kita jangan buat. Nescaya kita berjaya di dunia dan di akhirat.
 
DUNIA HAM'S
       Sebenarnya dunia ham's bukan baru bagi saya kerana sejak awal tahun 1980an lagi saya telah diperkenalkan dengan radio komunikasi semasa JOTA pengakap. Pengakap Pulau Pinang sudah terkenal lebih dari 50 tahun dalam menganjurkan JOTA pengakap dan sejak itu dalam setiap aktiviti pengakap kami menggunakan radio.  Namun di awal tahun 2004 barulah saya tertarik ingin mendalami berkenaan ham's radio secara mendalam. Selepas belajar bersama rakan-rakan pengakap, saya dan beberapa orang rakan pengakap telah menduduki RAE dan lulus  lesen kelas 'B'.  Sejak itu saya terus aktif dalam ham's radio ,terutama Komuniti Ham's Radio Kepala Batas.  Saya mula belajar tentang radio, antena dan pelbagai berkaitan radio Amatur, namun ilmu itu terlalu luas dan masih banyak yang perlu dipelajari terutama dari orang-orang lama.  Saya mula belajar buat perlbagai antena homebrew yang diambil dari internet atau dipelajari, malah saya membuat tower saya sendiri, belajar peteri dan kerja-kerja besi. 
    Saya dapati di dalam radio amatur juga terdapat banyak kelab, persatuan serta komuniti di setiap daerah. Saya ingin berkawan dan ber QSO dengan semua ahli dalam setiap kelab itu atas semangat Ham's .  Itu suatu perkembangan yang baik untuk peminat-peminat radio amatur dan seperti yang saya katakan di awal tadi pelbagai fenomena dalam berpersatuan itu.  Cuma yang perlu diingat main radio satu hobi bertujuan mencari kawan bukan bermusuh. Namun yang pasti kita perlu mendalami bidang radio itu dengan baik, berQSO dengan baik, betul serta tidak bertujuan atau berniat negatif.  Barulah tercapai tujuan bermain radio yang sebenar. Kita faham dalam bermain radio pun ada bermacam-macam kategori, ada orang suka monitor, ada orang suka berQSO, ada orang suka aktiviti luar dan pelbagai. Hormati setiap minat orang sebagaimana kita mahu orang hormat minat kita kerana Tuhan jadikan manusia itu pelbagai sifat fizikal, mental, tingkahlaku serta kebolehan.
   
MENDALAMI HF
       Di akhir tahun 2009 saya mula mendalami bidang HF selepas diadakan bengkel HF anjuran rakan Hams Kepala Batas.  Saya membeli  set Yaesu FT897 dan sering monitor, setelah yakin barulah saya mencuba berQSO di 10m. Memang menyeronokkan, satu pengalaman baru, namun banyak harus dipelajari dari rakan-rakan lama. Terima kasih kepada 9M2SO, 9M2ZM, 9M2GET dan  9W2DI yang banyak memberi tunjuk ajar. Sekarang saya telah mempertingkatkan kemahiran radio saya daripada UHF, VHF ke HF. Ini satu lagi  peningkatan dalam tahap kehidupan saya. Saya mula membuat antena HF homebrew iaitu Delta Loop, Vertical dan G5RV untuk berQSO. Timbullah semangat mahu mencuba serta belajar benda baru. Biasalah orang baru mesti ada kesilapan dalam berQSO.  Namun kita tidak boleh berputus asa. Pelajari dan terus mencuba. Mana ada dalam dunia ni  orang yang perfect.  Orang yang lama main radio pun begitu juga, mereka belajar dari kesilapan serta pengalaman. Mereka pun baru, kemudian jadi lama, ada yang main radio secara lanun sebelum dapat lesen. Yang penting kita jangan lupa zaman lampau kita dulu dan jangan bersikap sombong atau lupa daratan jika sudah mencapai ke tahap yang lebih tinggi.  Bagi orang baru seperti saya kita harus menerima teguran yang baik dari sesiapa sahaja dan bagi rakan-rakan lama cara menegur juga penting agar tidak mengguris hati orang lain.   Baru semangat ukhuwah dan hams tercapai.
   
MASALAH BERBAHASA INGGERIS
      Beralih semula ke HF, saya ada mengajak rakan-rakan saya di komuniti Kepala Batas agar mencuba HF di 10m dan 6m yang dibenarkan bagi lesen kelas 'B'.  Ramai daripada mereka menolak dengan alasan tidak  pandai berbahasa Inggeris.  Saya jelaskan kepada mereka, belajarlah sikit-sikit, pelan-pelan bahasa QSO yang mudah, lama-lama kita akan pandai. Contohnya penarik beca di Pulau Pinang bukan ngaji tinggi pun, tetapi hasil pengalaman membawa pelancong asing, mereka mahir berbahasa Inggeris, walaupun bukan dengan grammar yang betul. Tidak salah belajar dan mencuba. Selama berQSO di 10m ni saya dapati bahasa Inggeris hams  dari China, Jepun, Afrika, Arab, Brazil malah di negara Eropah yang bukan Bahasa ibunda bahasa Inggeris, bukannya betul sangat grammarnya.  Malah ada yang menulis dan membaca apa yang hendak dikatakan semasa ber QSO itu berulangkali setiap kali berQSO dengan mana-mana station. Yang penting mesej tercapai semasa berQSO.  Saya rasa di Malaysia sendiri pun bahasa Inggeris hams samada berbangsa Melayu, Cina atau pun India yang berQSO pun bukan semuanya Queen's atau pun King's English.  Malah mat salleh di England sendiri pun bercakap bahasa pasar seperti kita semasa berkomunikasi. Sebagai guru di sekolah kita menggalakkan anak-anak murid kita berbahasa Inggeris, tak kira betul ke salah, yang salah diberpetulkan,  Kalau nak tahu bahasa Inggeris yang betul kena cakap macam belajar di sekolahlah.   Saya sendiri pun bukan pandai sangat berbahasa Inggeris yang betul grammar  dengan past tense, present tense, present continiuos tense nya. Di sekolah saya sering berkomunikasi dengan rakan-rakan Cina dan India dalam bahasa Inggeris. Mereka tak ketawa pun apa yang kami perkatakan jika membuat kesilapan.  Ini kelemahan kita sikap malu mencuba.  Yang penting kita berkomunikasi serta terus belajar dan mencuba. Kita orang kampung yang bercakap bahasa loghat daerah  bukan orang bandar yang terdedah kepada  penggunaan bahasa Inggeris sejak kecil atau pun orang  lama yang sistem pendidikan berbahasa Inggeris.  Bahasa apa pun kalau tak dipraktik tak kan dapat dikuasai dengan baik.  Itulah kebaikan bermain radio, lama kelamaan kita akan jadi macam penarik beca di Pulau Pinang yang pandai berbahasa Inggeris.  Jika nak tunggu mahir bahasa Inggeis baru boleh berQSO di HF, kita kena suruh rakan-rakan hams di negara lain tadi jangan main HF lah.  HF hanya untuk orang yang berbahasa Inggeris dengan betul saja.  Biarlah orang nak kata apa, seperti yang saya katakan di awal tadi.  Manusia diberi Tuhan pelbagai fikiran dan tingkalaku.  Kita tak boleh mengawal pemikiran dan tingkahlaku orang lain, cuma kawallah apa yang kita milik dan sentiasa bersikap positif dan bersangka baik.   Ingat UHF,VHF dan HF adalah untuk semua orang.  

CW -KOD MORSE
     Setelah mula ber QSO di HF teringin pula saya untuk tingkatkan tahap lesen dan kemahiran saya dari kelas 'B' ke kelas 'A' (ini azam saya).  Saya ingin belajar dan mempraktik CW -Kod Morse pula. Saya pernah menduduki ujian CW bulan Mac yang lepas untuk melihat sendiri bagaiman ujian itu dijalankan (gagal ujian).  Insyaallah satu hari nanti saya berazam akan lulus dalam CW.   Ini adalah satu lagi peningkatan yang saya ingin capai dalam bidang hams radio.   Saya tahu pelbagai komen yang diperkatakan tentang CW ini, namun bagi saya ia adalah satu ilmu baru yang harus dipelajari dan selaras dengan kerjaya saya sebagai seorang guru.  Ilmu Allah Ta'ala tak kan habis dituntut sehingga ke liang lahad.  Bagi  rakan-rakan kelas 'B' (9w2,9w6,9w8) sama-samalah kita belajar ilmu baru dan fenomena baru dalam HF. Itupun bagi yang berminat dan sebagai seorang guru saya amat menggalakkan semua orang mencuba ilmu baru ini.
    Akhir kata saya berdoa semoga rakan-rakan ham's kita terus bersatu atas semangat ham's, merapatkan ukhuwah di samping mempertingkat ilmu kita. 

                         "SELAMAT MAJU JAYA SEMUA RAKAN HAM'S"


     

   

No comments:

Post a Comment